Monday 22 April 2019

PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN SEBELUM ANDA MELABUR





KENALPASTI HARGA HARTANAH
Anda perlu mengetahui harga setiap hartanah yang ingin anda beli. Begitu juga dengan nilai hartanah tersebut pada jangka waktu tertentu. Melalui harga hartanah, anda dapat mengenalpasti komitmen bulanan anda dengan pihak peminjam; kebiasaannya bank. Anda juga dapat meletakkan harga hartanah tersebut sekiranya anda merancang untuk menjual semula atau menyewakan kepada penyewa. Oleh itu, amat penting untuk anda mengetahui harga hartanah yang ingin anda beli.

LOKASI HARTANAH

Lokasi memainkan peranan penting dalam menentukan kebarangkalian hartanah yang anda beli mampu untuk dijual semula atau disewakan. Lokasi jugalah yang menentukan nilai hartanah tersebut. Sekiranya lokasi hartanah yang anda pilih berdekatan dengan kemudahan awam seperti komuter dan jalan raya utama, nilainya agak tinggi dan permintaan juga tinggi. Sekiranya hartanah anda di kawasan yang jauh daripada pusat Bandar tetapi berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam, pasarannya juga tinggi tetapi nilainya agak sederhana. Sebaliknya, jika anda memilih untuk membeli hartanah di kawasan pinggir Bandar dan jauh daripada kemudahan pengangkutan, kemungkinan pasaran agak rendah tetapi nilai hartanahnya rendah dan anda mampu untuk memilikinya. Anda tentukan pilihan anda.

HAK PEGANGAN
Hak pegangan hartanah sama ada pegangan bebas atau pegangan pajakan memainkan peranan penting dalam pelaburan anda. Jika anda mahu menduduki rumah terbabit, pegangan bebas pilihan yang terbaik. Sebaliknya, jika anda mahu menyewakan rumah tersebut atau menjual semula, pegangan bebas atau pegangan pajakan tidak menjadi masalah untuk anda asalkan anda dapat pulangan anda. Topik hak pegangan ini akan saya huraikan lebih dalam subtopik seterusnya.

KEMUDAHAN PRASARANA
Prasarana perkara utama yang menjadi perhatian pembeli atau penyewa. Di sini, anda perlu mengenalpasti kemudahan prasarana di rumah yang bakal anda beli. Prasarana di kawasan perumahan seperti surau atau masjid, sekolah, taska, taman permainan, kedai dan jalan raya. Jika anda ingin membeli apartment atau kondominium, pastikan kemudahan prasarana di dalam kawasan apartment lengkap seperti kemudahan lif, ruang parkir, pengawal keselamatan dan kemudahan tambahan lain yang akan menjadi bonus kepada kediaman anda seperti bilik bacaan, gim, kolam renang, studio dan sebagainya.

KAWASAN PERSEKITARAN HARTANAH
Perkara penting yang perlu anda beri perhatian sebelum membeli hartanah adalah mengenalpasti kawasan persekitaran hartanah. Buat ‘site visit’. Pastikan kawasan kejiranan untuk memastikan pembeli atau penyewa rumah anda selesa dengan persekitaran rumah tersebut. Kenalpasti juga kawasan sekitar rumah sama ada bersih atau tidak, selamat atau tidak, penyelenggaraannya bersistematik atau tidak dan sebagainya. Begitu juga balai polis, hospital atau klinik terdekat untuk waktu – waktu kecemasan. 


No comments:

Post a Comment